SEPTEMBER 2023

Kerajaan Persekutuan Tunjuk Kesediaan Kembalikan Hak Sarawak, Sabah


KUCHING: Rakyat Sarawak hanya mahu menuntut haknya dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tidak berniat merampas hak orang lain.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskannya kerana Sarawak mungkin dituduh bersikap kedaerahan dengan tuntutan-tuntutan tersebut.

"Tetapi rakyat Sarawak hanya mahu hak Sarawak dan tidak berniat untuk merampas hak orang lain," katanya pada majlis Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Zahid Hamidi serta menteri- menteri kabinet Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Abang Johari berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS)  berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menunjukkan kesediaan mengembalikan hak-hak Sarawak dan Sabah seperti diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63 yang telah terhakis.

" Ini adalah kehendak keseluruhan rakyat Sarawak supaya hak dan keistimewaan Sarawak dalam Perlembagaan dan MA63 terus dihormati dan dilaksanakan seperti yang dipersetujui oleh pemimpin kemerdekaan 1963," tambahnya.

Katanya, Perlembagaan pula telah menentukan perkara yang di bawah bidang kuasa Persekutuan bidang kuasa negeri dan bidang kuasa bersama.

"Perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah berdasarkan undang-undang tertinggi negara tersebut," katanya.

Namun, Abang Johari menjelaskan pembahagian kuasa tersebut tidak bermakna pihak Persekutuan dan Negeri tidak boleh bekerjasama untuk kepentingan bersama.

"Contohnya, kerjasama antara Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersil (CSA) telah membuka ruang kerjasama antara kedua-dua pihak yang memberi manfaat kepada negara dan juga kepada Sarawak," katanya.

GAMBAR: JAPEN

Sumber dari : Jiwa Bakti